Rangka Rancangan
Jangka Panjang Pertama (RRJP1)
Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1)
meliputi tempoh 1971-90 kini telah tamat. Di bawah rangka ini, Kerajaan telah
melaksanakan empat rancangan pembangunan bermula dengan Rancangan Malaysia
Kedua (1971-75) hingga Rancangan Malaysia Kelima (1986-90).Rancangan-rancangan
pembangunan ini telah dilaksanakan di bawah rangka Dasar Ekonomi Baru (DEB)
yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 1970, berikutan daripada peristiwa
rusuhan kaum pada tahun 1969.Dasar ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan
dengan pengagihan yang saksama kearah mencapai matlamat perpaduan di kalangan
kaum di negara ini.
Dasar Ekonomi Baru
Matlamat utama penggubalan DEB ialah untuk
mencapai perpaduan negara dan membangunkan satu bangsa melalui strategi serampang
dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dari segi
pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, Kerajaan sedar betapa beratnya
tanggungjawab yang terlibat memandangkan bahawa pada masa RRJP1 dilancarkan
hampir separuh daripada jumlah isirumah di negara ini adalah miskin. Kadar
kemiskinan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970 adalah sebanyak 49.3 peratus
daripada jumlah isi rumah dan matlamat yang ditetapkan ialah untuk
mengurangkannya kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Bilangan isirumah
miskin yang terbesar adalah diluar bandar dengan kadar kemiskinan sebanyak 58.7
peratus berbanding dengan 21.3 peratus di kawasan bandar. Matlamat yang
ditetapkan ialah untuk mengurangkan kadar kemiskinan diluar bandar dan bandar
masing- masing kepada 23 peratus dan 9.1 peratus menjelang tahun 1990. Dari
segi kumpulan etnik, Bumiputera merupakan golongan miskin yang terbesar,
merangkumi 74 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung Malaysia pada
tahun 1970. Kadar kemiskinan dikalangan Bumiputera juga adalah yang tertinggi
iaitu 65 peratus berbanding dengan 26 peratus dikalangan kaum Cina dan 39
peratus dikalangan kaum India.
No comments:
Post a Comment